Monday 20 February 2012

Kebahagiaan dalam berbakti dan memberi


“Keberhasilan dalam hidup mudah diukur dengan bilangan hari gembira yang kita lalui.”, kata Tina Su.

Ketika saya mencari-cari erti bahagia, PakCik Google menunjukkan kepada suatu laman web yang cukup menarik karya Tina Su, seorang CHO (Chief Happiness Officer), beliau yang berumur sekitar 30an yang memilih untuk meninggalkan dunianya yang terkejar-kejar ke sana ke mari mencari apa yang beliau sifatkan sebagai suatu pengejaran kepada pencapaian lahiriah semata-mata kepada suatu keadaan yang beliau namakan “tidak bekerja semula (never work again)”.

Beliau menyatakan bahwa “tidak bekerja semula (never work again)” telah disalah tafsir oleh ramai orang sebagai meninggalkan sesuatu pekerjaan dan tidak berbuat apa-apa lagi selepas itu. Beliau bermaksud dengan konsep itu sebagai menghidupkan setiap hari yang dilalui dengan kehidupan yang penuh makna, hidup yang mempunyai tujuan yang lebih murni, bekerja untuk suatu projek yang kita suka, juga sebagai melahirkan kreativiti kita dalam menyelesaikan tugas itu dan hasilnya merupakan suatu sumbangan kepada nilai sejagat.

Laman web yang beliau namakan sebagai “Think Simple Now” telah dicipta pada akhir tahun 2007 sebagai sebahagian daripada misi pribadi beliau untuk mendapat kebahagiaan dan berbakti kepada manusia lain. Beliau menyatakan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, beliau telah berupaya meneroka berbagai isu dalam kehidupan pribadinya yang membuat dirinya berkembang pesat dalam menentukan haluan sendiri dan berupaya menjadi pemimpin bagi diri sendiri dan mengenal erti hidup yang sebenarnya.

Sebelum tahun 2007, beliau dalam keadaan bingung, terlebih kerja (workaholic), terlalu bercita-cita besar dan tersangat penat dalam mengejar cita-cita. Beliau terlalu obses dengan konsep motivasi, kebebasan kewangan dan sebarang aktiviti mengenai kemajuan diri (self-improvement). Beliau telah mengikuti berbagai seminar, membaca banyak buku, memulakan perniagaan, dan telah mengaplikasikan prinsip-prinsip kejayaan dalam hidupnya.

Lantas apa yang terjadi? Memang beliau telah mencapai apa yang dicita-citakan sebagai kejayaan luaran dalam setiap sudut kehidupan, tetapi beliau kepenatan kerana memaksa diri bekerja 60 hingga 80 jam seminggu menanggani semua perniagaan dan tugasan ternyata tetap juga beliau merasa gagal dan beliau sangat tidak bahagia. Beliau mendapati semakin banyak wang dan harta yang dikumpul semakin beliau tidak bahagia dan terus merasa kekurangan dan kecewa. Beliau selalu ingin lebih daripada apa yang telah beliau punyai, tiada kepuasan dalam memiliki kewangan dan harta yang banyak.

Hanya setelah beliau membuat perjalanan yang sesungguhnya ke dalam diri sendiri secara jujur dan semakin merasa betapa manisnya pengisian diri yang mantap dan kekuatan jiwa. Beliau kemudiannya mulai menilai kekuatan dalaman beliau dan mengetahui apakah yang membuat diri manusia itu bahagia yang sebenarnya.

Apabila beliau berhadapan dengan projek apa yang ingin dikerjakan, beliau akan bertanya soalan, “Jika sekiranya aku mempunyai semua wang dan sumber di dunia ini, apakah yang akan aku lakukan?”, selepas itu beliau akan terus mengerjakan apa yang beliau fikirkan bermanfaat untuk manusia lain dengan penuh keyakinan, visi yang jelas dan tindakan yang jitu. Beliau tidak lagi menghabiskan waktu berfikir tentang dirinya, atau memenuhi minda beliau dengan kerisauan tentang kegagalan.

Ramai manusia akan berfikir banyak kali mengenai sesuatu tugas untuk kebaikan orang lain dengan mengatakan, “jika saya ada waktu saya akan kerjakan tugasan amal itu, tetapi saya mesti mencari rezeki untuk hidup terlebih dulu”. Dari apa yang beliau perhatikan, jika kita mengerjakan sesuatu yang sangat bermakna kepada kemanusiaan dan mempunyai nilai sejagat yang tinggi, dunia akan “membayar” segala usaha kita itu, dan apa saja keperluan kita akan tertunai dengan sendirinya. Itulah yang beliau sifatkan sebagai balasan daripada alam (universe).

Mengamalkan gaya hidup “tidak bekerja semula (never work again)” memerlukan keberanian dan juga memerlukan suatu anjakan paradigma pemikiran kerana ramai manusia takut kepada perubahan, berpindah dari keadaan stabil kepada keadaan yang tidak diketahui. Ramai manusia tidak akan berani mengambil risiko kegagalan.
Sebaik saja kita berupaya mengatasi perasaan takut yang demikian dan memulakan sesuatu pekerjaan yang kita minati, akhirnya kita akan jatuh cinta kepada pekerjaan mulia yang sedang kita lakukan. Kita akan memperolehi kepuasan diri dengan berbakti kepada manusia lain, walau pun kita tidak dibayar untuk melakukan itu dan di mana-mana dalam proses demikian, kita akan menghasilkan nilai murni yang berpanjangan dan nilai kecintaan yang berterusan terhadap apa yang kita lakukan, wang akan menjadi produk sampingan daripada misi baru kita.

Misalnya dalam misi damai ke Palestin, atau misi damai ke Somalia, mereka menggadai nyawa bagi menjayakan misi sedemikian. Kepuasan yang akan diperolehi akan melebihi nilai pengorbanan yang mereka lakukan. Kepuasan demikian tidak boleh diukur pada pandangan umum dan akan dipandang tidak masuk akal oleh orang yang nilai pengorbanannya masih rendah.

Di sini konsep beliau (Tina Su) agak terkeliru dengan menyandarkannya kepada alam (universe), pada hal dalam Islam itu dinamakan sebagai keberkatan Allah kepada ummatNya yang rela berkorban untuk ummat yang lain dan Allah akan membalas segala kebaikan itu secara kita tidak sedari. Barang siapa yang bertaqwa kepada ALLAH niscaya ALLAH lepaskan dia dari masalah hidup dan memberi rezeki dari sumber yang tidak diduga. (Ath Thalaq: 2-3).

Dapat kita lihat sekiranya manusia menggunakan akalnya dengan jujur mereka akhirnya akan bertemu dengan Yang Maha Pencipta dan akan tunduk secara sepenuhnya dan mengakui Islam sebagai agama yang benar, namun hijab masih lagi melindunginya dan tidak nampak agama yang benar iaitu Islam.

Walau bagaimana pun nilai-nilai murni yang seharusnya ada orang Islam kelihatannya berada pada orang-orang Cina, Jepun dan Korea. Sikap, sifat dan keyakinan mereka jauh lebih tinggi nilainya daripada orang-orang Islam sendiri. Contohnya orang-orang Jepun apabila menghadapi tsunami akibat gempa dahsyat masih mengamalkan sikap tidak mementingkan diri sendiri dan beratur dengan rapi untuk mendapatkan makanan yang dicatu ketika keadaan darurat. Nilai murni ini hampir pupus di Negara yang ramai orang Islam.

Entah di mana silapnya sehingga keadaan bercanggah ini berlaku di negara-negara Islam. Ajaran Islam itu sempurna dan indah, namun pengajaran yang indah dan sempurna itu tidak membudaya di kalangan rakyat Negara Islam.

Sama-samalah kita fikirkan perkara ini dan cuba sedaya upaya untuk menyebarkan budaya indah Islam di kalangan generasi muda sehingga Islam kembali gemilang seperti zaman Rasulullah, para sahabat dan sahabat kepada para sahabat.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 20 Februari 2012.

Sunday 19 February 2012

Hidup bahagia dunia dan akhirat

Lama juga saya memikirkan tentang bahagia. Hingga kini, ketika umur senja pun hakikat kebahagian itu masih tetap kabur. Rupanya semasa mencari makna bahagia kita sudah pun merasa bahagia kerana apa yang kita cari itu sangat bermakna bagi hidup kini di dunia dan juga hidup nanti di akhirat.

Menurut Aristotle, kebahagiaan ialah makna dan tujuan hidup, keseluruhan tujuan dan
matlamat akhir kewujudan manusia di dunia ini.

Sementara Socrates pula menyatakan, berkahwinlah walau bagaimana cara pun. Jika anda mendapat isteri yang baik anda akan bahagia, dan jika anda mendapat isteri yang jahat anda akan menjadi seorang ahli falsafah.

Mahatma Gandhi pula menyatakan, kebahagiaan ialah apa yang anda fikir, apa yang anda katakan dan apa yang anda buat berada dalam keadaan harmoni.

Makna kebahagiaan yang lebih mendalam sedikit diberikan oleh Linoel Ketchian, ketika beliau menyatakan bahwa kebahagiaan ialah keadaan dalaman manusia, yang membolehkan kita mendapat manfaat tertinggi dari buah fikiran, kebijaksanaan, kecerdasan, fikiran sehat, emosi baik, kesihatan sempurna dan nilai-nilai murni spiritual dalam hidup kita.

Dalam Islam, pakar yang menceritakan secara mendalam tentang kebahagiaan ialah Al-Imam Al-Ghazali yang banyak mengupas tentang hati dan peranannya yang membawa sakinah (kebahagiaan) kepada manusia.

Menurut Al-Ghazali, puncak kebahagiaan ialah ma’rifatullah iaitu mengenal Allah secara sempurna. Imam Ghazali menyatakan:

"Ketahuilah bahagia tiap-tiap sesuatu bila kita rasakan nikmat, kesenangan dan kelezatannya maka rasa itu ialah menurut perasaan masing-masing. Maka kelezatan (mata) ialah melihat rupa yang indah, kenikmatan telinga mendengar suara yang merdu, demikian pula segala anggota yang lain dan tubuh manusia.

Ada pun kelezatan hati ialah ma'rifat kepada Allah, karena hati dijadikan tidak lain untuk mengingat Tuhan. Maka tentu saja berkenalan dengan Allah, adalah puncak dari segala macam kebahagiaan. Lebih dari apa yang dapat dibayangkan oleh manusia, sebab tidak ada yang lebih tinggi dari kemuliaan Allah. Dan oleh sebab itu tidak ada ma'rifat yang lebih lezat daripada ma'rifatullah.

Ma'rifalullah adalah buah dari ilmu. Ilmu yang mampu mengantarkan manusia kepada keyakinan, bahwa tiada Tuhan selain Allah (Laa ilaaha illallah)”.

Kita sangat yakin bahwa inilah jalan yang benar dan lurus kerana Rasulullah s.a.w. mengatakan bahwa dia meinggalkan dua bekalan bagi ummatnya, iaitu Al-Qur’an dan Sunnahnya, jika kita berpegang kepadanya dengan sejelas-jelas pegangan kita tidak akan sesat sehingga kiamat.

Berbahagialah siapa yang telah menemui jalan kebahagiaan menuju Allah s.w.t. kerana sekiranya pada umur senja pun jalan kebahagiaan demikian masih belum ditemui, dikhuatiri kebarangkalian untuk bertemu dengan jalan pulang ke syurga pada akhir hayat sangatlah tipis.

Perbetulkanlah matlamat hidup wahai para pemuda agar pada hari tuamu nanti akan menemui kebahagiaan yang sejati. Kepada yang sedang mencari-cari erti kebahagiaan, maka carilah dalam hati masing-masing kerana kebahagiaan hakiki berada di hati yang suci, ikhlas dan merendah diri kepada Allah s.w.t. Hati yang lebih banyak memberi dari meminta. Hati yang lebih banyak memaafkan daripada mendendam. Bahagialah mereka yang mempunyai hati yang mutmainnah (tenang), dan Allah s.w.t. mengajak hati-hati yang tenang dengan bibir yang basah mengingati Allah masuk ke syurga tempat asalnya kehadiran Nabi Adam dan Hawa.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 19 Feb 2012.

Saturday 18 February 2012

Keluarga bekerjaya mencari rumah tangga bahagia

Sekarang ini ramai keluarga mempunyai masalah pembantu rumah apabila kedua-dua pasangan suami isteri bekerja dan mempunyai anak-anak yang ramai untuk diuruskan. Mereka sangat memerlukan pembantu rumah untuk meringankan beban memelihara anak-anak dan mengurus rumah tangga.

Mencari pembantu rumah yang sesuai bukanlah satu perkara yang mudah. Oleh kerana orang tempatan jarang yang mahu menjadi pembantu rumah tangga, maka kita terpaksa mencari orang asing untuk membantu menguruskan rumah tangga kita. Kita dapati ramai orang asing ingin bekerja sebagai pembantu rumah tangga kerana bayaran yang dikira lumayan berbanding dengan gaji pekerjaan yang sama di tempat asal mereka.

Selain daripada karenah birokrasi dalam urusan mendapatkan pembantu rumah tangga, pasangan suami isteri menghadapi masalah membayar yuran yang mahal bagi mendapatkan khidmat sedemikian, ditambah lagi dengan kesukaran mendapatkan pembantu rumah tangga yang serasi dengan mereka. Ada yang bertahan beberapa hari dan ada juga yang hanya bertahan beberapa bulan saja selepas diambil bekerja. Semua ini akan menimbulkan masalah bagi keluarga yang baru membina rumah tangga dan baru mempunyai anak.

Terjadi satu kontradiksi antara ingin mempunyai kehidupan yang selesa, teratur dan bahagia dengan kesukaran mendapatkan pembantu rumah tangga dengan harga yang berpatutan. Percanggahan ini perlu diatasi secara tuntas oleh keluarga baru agar masalah pertumbuhan anak-anak mereka tidak terjejas.

Bagi menanggani masalah ini saya telah mencuba satu kaedah yang dinamakan TRIZ (Bahasa Rusia), atau dalam Bahasa Inggeris TIPS (Theory of Inventive Problems Solving) bagi merungkai masalah ini secara tuntas (once and for all). Dalam hal ini TRIZ telah mencadangkan 6 cadangan yang mendapat frekwensi tertinggi iaitu (1) perubahan parameter, (2) proaktif, (3) objek pakai buang, (4) bahan komposit, (5) keluarkan, dan (6) atmosfera tenang.

1. Perubahan parameter (prinsip #35)
Prinsip ini telah muncul sebanyak 12 kali dalam kiraan frekwensi TRIZ dan ini menunjukkan bahwa prinsip ini sangat penting bagi menyelesaikan masalah pembantu rumah tangga. Parameter utama dalam mengukur keberhasilan rumah tangga ialah kebahagiaan yang tercipta dalam rumah tangga tersebut. Akibat dari kebahagiaan itu pertumbuhan anak-anak akan terjamin dan mereka akhirnya akan menjadi manusia yang berguna kepada bangsa, agama dan Negara. Perubahan parameter boleh juga kita kiaskan kepada perubahan sikap antara suami dan isteri, misalnya mengambil keputusan salah seorang tidak bekerja dan hanya seorang yang berpendapatan lebih tinggi saja yang bekerja. Walau pun keputusan ini berat dan memerlukan pengorbanan kedua-dua pihak tetapi perubahan sikap ini sangat perlu dalam menyelesaikan masalah ini.

2. Proaktif (Preliminary action) (prinsip #10)
Kesediaan kedua-dua pasangan suami isteri merupakan prasyarat kepada keberhasilan sebuah rumah tangga, jadi mereka berdua mestilah bersiap sedia sejak sebelum berkahwin lagi dengan menyiapkan mental yang betul dan konsep berumah tangga yang matang. Saling berjanji untuk tetap cinta antara satu sama lain walau apa pun yang terjadi. Istiqomah dengan janji itu. Setiap masalah yang timbul dalam proses mendirikan rumah tangga bahagia akan segera diselesaikan tanpa banyak persoalan, utamakan kebahagiaan daripada mengutamakan ego masing-masing.

3. Objek pakai buang (Cheap short-living object) (prinsip #27)
Urusan yang ada dalam sesebuah rumah tangga adalah banyak termasuklah memasak, menyuci pakai, membersihkan rumah, mengemas rumah dan sebagainya. Kita boleh memikirkan untuk menggunakan barangan murah yang boleh pakai dan buang. Ini akan memudahkan urusan rumah tangga. Contoh yang biasa dibuat ialah lampin kanak-kanak yang “disposable”, atau makanan yang hanya perlu dipanaskan dan sudah ada bekasnya, sesudah dipakai boleh dibuang saja. Ini akan memudahkan dalam menyuci dan mengemas dapur dan meja makan.

4. Bahan komposit (Composite materials) (prinsip #40)
Bahan komposit di sini bukan saja untuk menyatakan komposisi bahan yang tahan lasak dan berbagai, tetapi boleh juga diibaratkan kepada kombinasi antara tempat tidur dan dinding. Misalnya mencipta tempat tidur yang boleh dilipatkan menjadi dinding pada sebelah siang dan pada sebelah malam membukanya menjadi tempat tidur. Ini akan memudahkan urusan mengemas rumah dan sebagainya. Idea-idea kreatif lain boleh dijanakan apabila kedua-dua suami isteri bersepakat untuk membina rumah tangga bahagia. Membuat aturan yang sistematik dalam rumah tangga sambil mendidik anak menjadi disiplin dan mematuhi peraturan. Sama-sama bermain dengan anak bagi mematangkan fikiran mereka.

5. Keluarkan (Taking out) (prinsip #2)
Maksud daripada cadangan ini berkemungkinan pasangan suami isteri mestilah bersedia untuk mengeluarkan apa saja kekecewaan yang timbul akibat urusan rumah tangga dan pasangannya mendengar dan memberikan cadangan. Jangan memendamkan perasaan sehingga tidak terkawal dan mengakibatkan kemurungan. Bersedia setiap ketika untuk memaafkan pasangan. Bersikap terbuka dan positif dalam hubungan rumah tangga. Jangan sekali-kali menyalahkan yang lain kerana menyalahkan orang lain tidak membantu menyelesaikan masalah.

6. Atmosfera tenang (Inert (calmed) atmosphere) (prinsip #39)
Mencipta suasana tenang dalam rumah tangga sangatlah penting kerana melalui suasana yang tenang dan damai kebahagiaan dapat dicapai, pendidikan anak-anak akan terjadi dengan sempurna dan matlamat utama rumah tangga iaitu ketenangan akan tercipta. Selalu bergurau senda antara suami dan isteri serta anak-anak akan mencipta suasana tenang dan bahagia dalam rumah tangga.

Kesimpulan (Conclusion)
Rumah tangga merupakan satu institusi yang cukup kompleks dan memerlukan suatu persediaan yang rapi sebelum kita membinanya. Mungkin suatu ketika nanti kita boleh menguruskan rumah tangga sendiri tanpa memerlukan pembantu rumah tangga. Insya Allah.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 19 Feb 2012.

Thursday 12 January 2012

Melestarikan Sikap Hidup Positif

Semua manusia pada dasarnya ingin hidup bahagia, tetapi kenapa derita yang mereka terima? Bahagia dan derita silih berganti hadir dalam hidup ini, namun bagaimana kita melestarikan bahagia dan sekaligus menghapuskan derita dari hidup ini?.
Bahagia ialah suatu suasana tenteram dan damai yang dirasakan dalam hati dan diterima oleh persekitaran. Perlu ada suatu perdamaian kekal antara diri dan persekitaran. Menerima diri dan persekitaran seadanya. Seterusnya melakukan hijrah berterusan kepada kebaikan dan kesempurnaan.
Ada enam (6) cadangan agar kita terus positif dalam hidup ini dan melayari hidup ini dengan bahagia yang berkekalan.
(1) Fokus kepada kekuatan, bukan kepada kelemahan.
(2) Uruskan perasaan dengan tepat
(3) Impikan keberhasilan.
(4) Lakukan kerja yang berguna
(5) Maju ke hadapan dan lupakan masa lalu.
(6) Kawal diri dengan melakukan apa yang kita boleh buat dan jangan lakukan apa yang kita tidak boleh buat.
Fokus kepada kekuatan, bukan kelemahan: setiap manusia mempunyai kekuatan tersendiri, cari dan cungkil kekuatan itu. Mungkin anda berbakat dalam melukis, menulis, berbicara, menyelidik, menyanyi, membaca dan sebagainya. Kukuhkan kekuatan itu sehingga menjadi sempurna dan anda akan hidup bahagia dengannya.
Uruskan perasaan dengan tepat: ramai manusia yang terjerumus dalam kehinaan dan kebinasaan kerana mengikut perasaan. Nafsu marah akan menimbulkan dendam dan dendam akan mengakibatkan pemiliknya membunuh, menganiaya, memperlekeh, dan menjahanamkan hidup manusia lain. Ketika kita akan marah, cuba tarik nafas panjang-panjang dan berfikir sejenak akibat daripada perbuatan yang akan dilakukan kerana marah. Kita akan kembali tenang dan mengawal kemarahan kita. Maafkan perbuatan orang kerana mereka mungkin tidak mengetahui dan kita mendapat pahala kerana memaafkan orang lain.
Impikan keberhasilan: setiap apa yang kita lakukan, kerjakan yang terbaik. Kita akan puas apabila kita dapat menyelesaikan sesuatu dengan baik dan hendaklah selalu bersangka baik dengan Allah kerana Allah akan selalu membantu orang yang ikhlas berusaha yang terbaik. Tanamkan dalam benak kita bahwa kita akan berhasil Insya Allah pada akhirnya.
Lakukan kerja yang berguna: ramai manusia melakukan pekerjaan yang tidak berguna kepada diri mau pun kepada masyarakat. Allah memberikan kita tulang empat kerat (kudrat), otak yang waras dan panduan Nabi Muhammad S.A.W. Pekerjaan yang berguna ialah pekerjaan yang berguna ialah pekerjaan yang membantu manusia mendekati Allah Yang Maha Pencipta dan sekaligus siapa yang membantu Allah, maka Allah akan mempermudahkan hidupnya dengan rezeki yang diberkati. Selalulah bertanya pada diri, “apakah pekerjaan yang aku lakukan sekarang ini lebih mendekatkan diri kepada Allah atau lebih menjauhkan diri daripada Allah?”. Jika lebih mendekatkan diri kepada panduan Allah, maka lakukan dan jika tidak tinggalkan segera dan gantikan dengan pekerjaan yang mendekatkan kita kepada ridho Allah.
Maju ke hadapan dan lupakan masa lalu: masa boleh dibahagi kepada tiga iaitu masa depan, masa kini dan masa lalu. Masa depan masih dalam impian, masa kini yang perlu dimanfaatkan dan masa lalu jangan diingati lagi kerana ianya tidak akan kembali. Terus berfikir ke hadapan jangan berfikir ke belakang. Tidak ada gunanya bersedih dengan masa lalu, tetapi hadapilah masa kini dan masa hadapan dengan penuh yakin dan memperbaiki segala kekurangan dan mendapat ganjaran yang maksimum daripada masa kini dan masa hadapan.
Kawal diri dengan melakukan apa yang kita boleh buat dan jangan lakukan apa yang kita tidak boleh buat: perkara-perkara yang diluar kawalan kita hanyalah 10% tetapi perkara yang kita boleh kawal adalah 90%. Tidak ada siapa yang dapat mengawal apa yang Allah akan lakukan kerana Dialah Yang Maha Kuasa. Namun, manusia dibekalkan dengan segala kekuatan fizikal dan minda untuk berperanan dalam hidup ini. Maka lakukan apa yang kita boleh lakukan dan lupakan apa yang kita tidak boleh lakukan.
Melalui enam (6) cadangan di atas, hidup kita akan lebih bahagia dan itulah cadangan untuk melestarikan (mengekalkan) kebahagiaan denga terus bersikap positif sepanjang masa hidup ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 13 Januari 2012.

Monday 5 September 2011

Bahagia itu dihati


Ada yang mencari bahagia di pelbagai tempat. Malah ada yang kerap bertukar pasangan hidup demi mencari bahagia. Juga ada yang mencari bahagia di kelab-kelab malam, berdisko, minum arak hingga berbotol-botol dan bergadang hingga ke pagi. Apakah mereka dapat bahagia yang mereka cari itu.

Beberapa hari yang lalu aku sempat melayan “chat” seorang teman dari Jakarta yang bernama Yani (bukan nama sebenar). Cantik orangnya tapi tidak bertudung. Sudah dua kali berganti suami. Pasangan pertama orang Indonesia dan suami kedua orang Malaysia. Kedua-duanya kandas di pertengahan jalan.

Beliau tidak menyatakan secara jelas apa yang beliau cari. Kesimpulan “chat” ialah dia tidak bahagia dan ingin mencari bahagia dalam sebuah rumah tangga. Aku terus mencadangkan agar beliau mencari cinta Allah yang lestari.

Dalam hidup ini ada perkara yang kita boleh kawal dan tidak boleh kawal. Antara yang tidak berada di bawah kawalan kita ialah ibu dan ayah, tempat kelahiran, bangsa, dan keturunan. Itu dinamakan takdir. Kira-kira hanya sepuluh peratus saja perkara itu berlaku dalam hidup kita. Sembilan puluh peratus lagi berada dalam kawalan kita. Ini bermakna ada pilihan di tangan kita untuk memilihnya atau tidak. Bahagia termasuk dalam hal yang boleh kita pilih.

Jika kita memilih untuk bahagia, maka tumpuan kita adalah pada hati kita kerana bahagia kita berada dalam hati kita, bukan berada pada hati orang lain. Jika kita tidak ambil kisah, maka hidup kita tentunya tidak bahagia. Kebahagiaan itu sesuatu yang boleh kita bina, kita bangun dengan segala kehalusannya. Kita inginkan suatu kebahagiaan yang lestari (bertahan lama).

Dalam bahagia tidak ada benci, kerana sifat benci berada dalam kelompok perangai buruk sementara bahagia berada dalam kumpulan perangai terpuji. Kita akan bahagia kalau melihat orang lain bahagia. Jangan sekali-kali ada sifat bahagia melihat orang lain derita kerana itu bertentangan dengan sifat bahagia yang lestari.

Ummat Islam diajar agar menyebut, “innalilahi wa ilaihi rojiun”, sesungguhnya dari Allah dia datang dan kepada Allahlah ianya kembali, ketika ditimpa musibah dan nyatakan rasa syukur kepada Allah apabila diberikan nikmat. Tidak ada sedikitpun rasa sombong atas apa yang ada dan tidak rasa sedih sedikitpun apa yang pergi kerana semua itu adalah di luar kawalan kita. Itu suatu yang telah ditakdirkan.

Pada hal-hal yang boleh kita pilih, jangan sekali-kali menyalahkan takdir. Misalnya, “kenapa anda miskin?”, kalau jawabnya itu sudah takdir, sang penjawab itu berada pada landasan yang keliru, kerana jadi miskin bukan takdir, tetapi suatu pilihan. Sebenarnya suatu pilihan yang salah. Ada hadith Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahwa jika esok akan kiamat dan pada tangan kita ada sebiji benih, maka tanamlah biji benih itu. Jangan berfikir, “kenapa mesti tanam biji benih ini. Esok sudah nak kiamat. Aku tak sempat nak makan”. Yang perlu difikirkan ialah usaha yang kita lakukan, biar di mana pun kita berada, usaha kebaikan itu penting dan Allah akan menilai amal baik kita setiap masa. Untungnya tidak segera didapati, tetapi setiap amal akan diberikan ganjaran di akhirat nanti oleh Allah.

Marilah kita mencari bahagia dengan mencintai Allah. Melalui cinta juga Allah akan membahagiakan kita dengan keluarga yang sakinah, hati yang bersih, sifat yang tawadhu dan berpada-pada. Mohon dijauhi sifat-sifat tercela yang akan merusakkan bahagia yang kita dambakan.

Wallahu A’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 6 September 2011.

Sunday 7 August 2011

Bahagia bersama keluarga menyambut hari lahir

Tanggal 6 Ogos 2011, anak-anak mengadakan sambutan hari lahir kami berdua, aku menyambut hari lahir ke-63 pada 4 Ogos dan isteri hari lahirnya yang ke-56 pada 8 Ogos. Kebetulan hari Sabtu 6 Ogos itu semua berkelapangan datang. Angka 4, 6 dan 8 sungguh bermakna dalam keluarga kami. Isteriku mempunyai adik beradik 4 orang, aku sendiri bersaudara 8 orang, dan kami mempunyai 6 orang anak. Aku lahir pada tanggal 4, dan isteri pada tanggal 8 pada bulan yang sama iaitu bulan 8. Meriah sungguh sambutan tersebut.

Seramai 34 orang yang hadir. Itu hanya anak, menantu, cucu, 7 orang tetamu dekat dan 4 pembantu rumah. Jadi saya, isteri, anak, menantu dan cucu berjumlah 23 orang. Dua orang menantu tidak dapat hadir. Seorang kerana urusan pekerjaan, dan seorang lagi di hospital, sedang menunggu untuk melahirkan cucu kembar kami. Kami berdoa agar menantu dan cucu kembar kami selamat. Akan bertambahlah cucu kami menjadi 14 orang dalam waktu terdekat.

Kebetulan turut hadir ialah Dato Nik Mustafa Kamal Nik Ahmad, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria. Beliau ialah sepupu dengan Nik Sahazeman Nik Majid menantu kami. Dato Nik Mustafa sedang bercuti “kepayahan (hardship)” di Malaysia. Makna cuti “kepayahan (hardship)” aku juga kurang maklum. Namun kehadiran beliau dan keluarga memeriahkan lagi suasana sambutan harijadi kami.

Ketika waktu berbuka tiba, masing-masing menuju ke meja hidangan untuk berbuka puasa. Paling sibuk dan rioh rendah ialah cucu-cucu kami. Paling kecil 8 bulan dan yang sulong 10 tahun. Masing-masing pun menuju ke meja makan seolah-olah mereka juga turut berbuka puasa. Tak makan saman semua mereka itu. Hanya 4 orang cucu yang berpuasa, cucu-cucu yang lain tumpang berbuka saja, kerana mereka masih kecil.

Telatah cucu-cucu sungguh menggeli hati, telatah mereka dirakam beberapa jurufoto amatur di kalangan kami termasuk yang menyambut hari lahir yang berminat dengan fotografi.

Setelah berbuka puasa secara sederhana, kami solat berjamaah Magrib dan kemudian meneruskan makan malam dan sesi perbualan. Dato Mustafa Kamal banyak menceritakan pengalaman beliau di Nigeria, sesekali menyelitkan juga pengalaman beliau bertugas di Filipina dan di tempat-tempat lain.

Sesudah itu acara penyampaian hadiah pun tiba. Aku dihadiahkan anak-anak sebuah
kerusi studi yang baru dan Mama mereka dihadiahkan oven letrik untuk membuat roti. Kami sungguh bersyukur mempunyai anak-anak dan menantu-menantu yang boleh bekerjasama dalam semua hal.

Aku dengar di hujung telinga mereka sedang merancang untuk mengadakan Majlis Haqiqah seekor lembu sekitar bulan haji nanti.

Mereka mempunyai jawatankuasa sendiri di kalangan anak-anak dan menantu. Ada Ketua, Setiausaha dan Bendahari yang mengendalikan majlis keluarga terutama majlis sambutan hari jadi yang mereka adakan 2 atau 3 bulan sekali. Waktu itulah kami sekeluarga berkumpul dan sama-sama tidur di rumah Atok dan Eyang mereka. Hubungan antara cucu-cucu sangat akrab. Ada yang sudah ada facebook walau pun masih kecil.

Rasa bahagia begitu membuak-buak dan kadang sebak sambil berdoa agar Allah terus merahmati keluarga ini dengan kasih sayang yang berpanjangan. Dimurahkan rezeki dan disatukan hati-hati kami selama-lamanya.

Kemudian kami lakukan solat tarawikh berjamaah 8 rakaat dengan 4 salam, dan diikuti dengan witir 3 rakaat dengan dua salam. Kami berdoa agar Allah mengampunkan segala dosa dan kesalahan ibu bapa kami dan seterusnya merahmati keluarga ini dengan kecintaan Allah dan ditiupkan ruh keikhlasan, ketaqwaan dan keamanan dalam setiap jiwa keluarga besar ini. Amin!

Monday 1 August 2011

Dekati Al-Quraan bahagia rohani


Kini isteriku sudah mempunyai sebuah Al-Quraan digital yang dilengkapi dengan sebuah alat berbentuk pena, apabila alat itu disentuhkan ke mana-mana ayat dalam Al-Quraan digital bacaan qari yang merdu suaranya akan terdengar, dia dapat mengikuti secara perlahan bagi menikmati bacaan dan juga terjemahan dalam bahasa yang dia pilih.

Kesempatan puasa ini digunakan untuk mendalami Al-Quraan, sekaligus cuba memahami makna yang terkandung di dalamnya. Kegiatan aerobiknya terhenti sementara bulan puasa ini diganti dengan tarawikh, ada ketika ke gym dan selepas solat subuh mendalami Al-Quraan.

Beliau juga getol (minat) mengikuti kelas Al-Quraan Harfiah (huruf), Ustaz atau Ustazah menerangkan makna Al-Quraan huruf demi huruf dan memberi makna dalam bahasa yang mudah kita fahami.

Kadang-kadang kami mentelaah (ulangkaji) dengan masing-masing bertanya sesuatu perkataan Qur’aan dan menyebut maknanya dalam Bahasa Malaysia. Dalam keadaan memori yang semakin dimamah usia, kadang-kadang cepat terlupa. Kami perlu sebut berulang-ulang dan memikirkan aplikasinya dalam kehidupan.

Kami sama-sama ingin mempelajari Bahasa Al-Qur’aan supaya kami dapat melayari sisa-sisa hidup kami bahagia bersama Al-Qur’aan. Rasanya sudah tidak mampu lagi untuk mempelajari sepenuhnya Bahasa Arab dengan segala nahunya yang rumit.

Kami mempelajari Bahasa Al-Qur’aan dengan guru dan berpandukan buku “Panduan Menterjemahkan Al-Qur’aan, karya H. Syarifuddin Radin, Pondok Pesantren Al-Barkah, Cianjur, Jawa Barat”. Beliau menggunakan metodologi Kotak dan Rumus Merah. Kata-kata asas diberikan kotak dan diwarnakan merah.

Sepuluh ayat pertama surah Al-Baqarah menjadi perbincangan kami minggu-minggu lepas dan minggu mendatang. Konsep “mereka yang untung” (muflihun) berasaskan Al-Qur’aan ialah mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki mereka, beriman kepada Al-Qur’aan dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan yakin dengan adanya hari akhirat.

Konsep asas rukun iman merupakan aksioma asas yang mesti diyakini sebagai seorang muslim yang beriman, tiada percanggahan apa pun dalam kehidupan ini. Sungguh sempurna ciptaan Allah berupa Al-Qur’aan sebagai petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.

Nabi Muhammad s.a.w berpesan agar berpegang teguh kepada Al-Quraan dan Al-Hadith agar kita tidak akan tersesat selama-lamanya.

Kami sering mengingatkan cucu-cucu agar selalu solat dan membaca Al-Quraan ketika kami adakan pertemuan bulanan, apakah itu sambutan harijadi atau majlis makan-makan sempena kejayaan sesiapa dalam keluarga kami.

Ketika ini sudah ada 7 orang cucu daripada 14 cucu yang sudah boleh diajak solat berjamaah di rumah walau pun konsentrasi mereka belum sepenuhnya kepada solat, tapi kami mahu asas-asas agama Islam yang kuat ditanam sejak kecil dengan mencipta suasana keluarga yang berdasarkan agama Islam yang kuat.

Suasana tenang dan bahagia lahir dari mendengar ayat-ayat suci dibaca di dalam rumah sehingga rumah itu menjadi syurga buat kami.

Ramadhan memberi kita kesempatan yang sungguh bermakna, suasana Mesjid Istiqomah, Bandung ketika puasa telah lama kami tinggalkan. Rindu sekali dengan suasana itu. Sudah 35 tahun berlalu, namun nostalgia berada di Mesjid Istiqomah yang indah itu tidak pernah dapat kami lupakan. Terasa baru kemarin peristiwa manis itu berlaku, linangan air mata bahagia tidak terbendung lagi.

Itulah dinamakan bahagia yang tiada kata-kata dapat sepenuhnya menghuraikan suasananya. Bahagia ialah sesuatu yang dirasakan bukan sekadar dilihat dan dinikmati secara sepintas.

Berbahagialah mereka yang Allah dorongkan ke agama yang benar lagi lurus iaitu Islam dan marilah kita sepenuhnya memanfaatkan puasa ini untuk mendalami makna Islam yang biasanya kita “take for granted” dengan memikirkan ciptaan Allah yang tiada satu pun ada kecacatannya.

Dekatilah Al-Quraan agar kita memperolehi kebahagiaan yang hakiki. Amin.