Monday 5 September 2011

Bahagia itu dihati


Ada yang mencari bahagia di pelbagai tempat. Malah ada yang kerap bertukar pasangan hidup demi mencari bahagia. Juga ada yang mencari bahagia di kelab-kelab malam, berdisko, minum arak hingga berbotol-botol dan bergadang hingga ke pagi. Apakah mereka dapat bahagia yang mereka cari itu.

Beberapa hari yang lalu aku sempat melayan “chat” seorang teman dari Jakarta yang bernama Yani (bukan nama sebenar). Cantik orangnya tapi tidak bertudung. Sudah dua kali berganti suami. Pasangan pertama orang Indonesia dan suami kedua orang Malaysia. Kedua-duanya kandas di pertengahan jalan.

Beliau tidak menyatakan secara jelas apa yang beliau cari. Kesimpulan “chat” ialah dia tidak bahagia dan ingin mencari bahagia dalam sebuah rumah tangga. Aku terus mencadangkan agar beliau mencari cinta Allah yang lestari.

Dalam hidup ini ada perkara yang kita boleh kawal dan tidak boleh kawal. Antara yang tidak berada di bawah kawalan kita ialah ibu dan ayah, tempat kelahiran, bangsa, dan keturunan. Itu dinamakan takdir. Kira-kira hanya sepuluh peratus saja perkara itu berlaku dalam hidup kita. Sembilan puluh peratus lagi berada dalam kawalan kita. Ini bermakna ada pilihan di tangan kita untuk memilihnya atau tidak. Bahagia termasuk dalam hal yang boleh kita pilih.

Jika kita memilih untuk bahagia, maka tumpuan kita adalah pada hati kita kerana bahagia kita berada dalam hati kita, bukan berada pada hati orang lain. Jika kita tidak ambil kisah, maka hidup kita tentunya tidak bahagia. Kebahagiaan itu sesuatu yang boleh kita bina, kita bangun dengan segala kehalusannya. Kita inginkan suatu kebahagiaan yang lestari (bertahan lama).

Dalam bahagia tidak ada benci, kerana sifat benci berada dalam kelompok perangai buruk sementara bahagia berada dalam kumpulan perangai terpuji. Kita akan bahagia kalau melihat orang lain bahagia. Jangan sekali-kali ada sifat bahagia melihat orang lain derita kerana itu bertentangan dengan sifat bahagia yang lestari.

Ummat Islam diajar agar menyebut, “innalilahi wa ilaihi rojiun”, sesungguhnya dari Allah dia datang dan kepada Allahlah ianya kembali, ketika ditimpa musibah dan nyatakan rasa syukur kepada Allah apabila diberikan nikmat. Tidak ada sedikitpun rasa sombong atas apa yang ada dan tidak rasa sedih sedikitpun apa yang pergi kerana semua itu adalah di luar kawalan kita. Itu suatu yang telah ditakdirkan.

Pada hal-hal yang boleh kita pilih, jangan sekali-kali menyalahkan takdir. Misalnya, “kenapa anda miskin?”, kalau jawabnya itu sudah takdir, sang penjawab itu berada pada landasan yang keliru, kerana jadi miskin bukan takdir, tetapi suatu pilihan. Sebenarnya suatu pilihan yang salah. Ada hadith Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahwa jika esok akan kiamat dan pada tangan kita ada sebiji benih, maka tanamlah biji benih itu. Jangan berfikir, “kenapa mesti tanam biji benih ini. Esok sudah nak kiamat. Aku tak sempat nak makan”. Yang perlu difikirkan ialah usaha yang kita lakukan, biar di mana pun kita berada, usaha kebaikan itu penting dan Allah akan menilai amal baik kita setiap masa. Untungnya tidak segera didapati, tetapi setiap amal akan diberikan ganjaran di akhirat nanti oleh Allah.

Marilah kita mencari bahagia dengan mencintai Allah. Melalui cinta juga Allah akan membahagiakan kita dengan keluarga yang sakinah, hati yang bersih, sifat yang tawadhu dan berpada-pada. Mohon dijauhi sifat-sifat tercela yang akan merusakkan bahagia yang kita dambakan.

Wallahu A’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 6 September 2011.

Sunday 7 August 2011

Bahagia bersama keluarga menyambut hari lahir

Tanggal 6 Ogos 2011, anak-anak mengadakan sambutan hari lahir kami berdua, aku menyambut hari lahir ke-63 pada 4 Ogos dan isteri hari lahirnya yang ke-56 pada 8 Ogos. Kebetulan hari Sabtu 6 Ogos itu semua berkelapangan datang. Angka 4, 6 dan 8 sungguh bermakna dalam keluarga kami. Isteriku mempunyai adik beradik 4 orang, aku sendiri bersaudara 8 orang, dan kami mempunyai 6 orang anak. Aku lahir pada tanggal 4, dan isteri pada tanggal 8 pada bulan yang sama iaitu bulan 8. Meriah sungguh sambutan tersebut.

Seramai 34 orang yang hadir. Itu hanya anak, menantu, cucu, 7 orang tetamu dekat dan 4 pembantu rumah. Jadi saya, isteri, anak, menantu dan cucu berjumlah 23 orang. Dua orang menantu tidak dapat hadir. Seorang kerana urusan pekerjaan, dan seorang lagi di hospital, sedang menunggu untuk melahirkan cucu kembar kami. Kami berdoa agar menantu dan cucu kembar kami selamat. Akan bertambahlah cucu kami menjadi 14 orang dalam waktu terdekat.

Kebetulan turut hadir ialah Dato Nik Mustafa Kamal Nik Ahmad, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria. Beliau ialah sepupu dengan Nik Sahazeman Nik Majid menantu kami. Dato Nik Mustafa sedang bercuti “kepayahan (hardship)” di Malaysia. Makna cuti “kepayahan (hardship)” aku juga kurang maklum. Namun kehadiran beliau dan keluarga memeriahkan lagi suasana sambutan harijadi kami.

Ketika waktu berbuka tiba, masing-masing menuju ke meja hidangan untuk berbuka puasa. Paling sibuk dan rioh rendah ialah cucu-cucu kami. Paling kecil 8 bulan dan yang sulong 10 tahun. Masing-masing pun menuju ke meja makan seolah-olah mereka juga turut berbuka puasa. Tak makan saman semua mereka itu. Hanya 4 orang cucu yang berpuasa, cucu-cucu yang lain tumpang berbuka saja, kerana mereka masih kecil.

Telatah cucu-cucu sungguh menggeli hati, telatah mereka dirakam beberapa jurufoto amatur di kalangan kami termasuk yang menyambut hari lahir yang berminat dengan fotografi.

Setelah berbuka puasa secara sederhana, kami solat berjamaah Magrib dan kemudian meneruskan makan malam dan sesi perbualan. Dato Mustafa Kamal banyak menceritakan pengalaman beliau di Nigeria, sesekali menyelitkan juga pengalaman beliau bertugas di Filipina dan di tempat-tempat lain.

Sesudah itu acara penyampaian hadiah pun tiba. Aku dihadiahkan anak-anak sebuah
kerusi studi yang baru dan Mama mereka dihadiahkan oven letrik untuk membuat roti. Kami sungguh bersyukur mempunyai anak-anak dan menantu-menantu yang boleh bekerjasama dalam semua hal.

Aku dengar di hujung telinga mereka sedang merancang untuk mengadakan Majlis Haqiqah seekor lembu sekitar bulan haji nanti.

Mereka mempunyai jawatankuasa sendiri di kalangan anak-anak dan menantu. Ada Ketua, Setiausaha dan Bendahari yang mengendalikan majlis keluarga terutama majlis sambutan hari jadi yang mereka adakan 2 atau 3 bulan sekali. Waktu itulah kami sekeluarga berkumpul dan sama-sama tidur di rumah Atok dan Eyang mereka. Hubungan antara cucu-cucu sangat akrab. Ada yang sudah ada facebook walau pun masih kecil.

Rasa bahagia begitu membuak-buak dan kadang sebak sambil berdoa agar Allah terus merahmati keluarga ini dengan kasih sayang yang berpanjangan. Dimurahkan rezeki dan disatukan hati-hati kami selama-lamanya.

Kemudian kami lakukan solat tarawikh berjamaah 8 rakaat dengan 4 salam, dan diikuti dengan witir 3 rakaat dengan dua salam. Kami berdoa agar Allah mengampunkan segala dosa dan kesalahan ibu bapa kami dan seterusnya merahmati keluarga ini dengan kecintaan Allah dan ditiupkan ruh keikhlasan, ketaqwaan dan keamanan dalam setiap jiwa keluarga besar ini. Amin!

Monday 1 August 2011

Dekati Al-Quraan bahagia rohani


Kini isteriku sudah mempunyai sebuah Al-Quraan digital yang dilengkapi dengan sebuah alat berbentuk pena, apabila alat itu disentuhkan ke mana-mana ayat dalam Al-Quraan digital bacaan qari yang merdu suaranya akan terdengar, dia dapat mengikuti secara perlahan bagi menikmati bacaan dan juga terjemahan dalam bahasa yang dia pilih.

Kesempatan puasa ini digunakan untuk mendalami Al-Quraan, sekaligus cuba memahami makna yang terkandung di dalamnya. Kegiatan aerobiknya terhenti sementara bulan puasa ini diganti dengan tarawikh, ada ketika ke gym dan selepas solat subuh mendalami Al-Quraan.

Beliau juga getol (minat) mengikuti kelas Al-Quraan Harfiah (huruf), Ustaz atau Ustazah menerangkan makna Al-Quraan huruf demi huruf dan memberi makna dalam bahasa yang mudah kita fahami.

Kadang-kadang kami mentelaah (ulangkaji) dengan masing-masing bertanya sesuatu perkataan Qur’aan dan menyebut maknanya dalam Bahasa Malaysia. Dalam keadaan memori yang semakin dimamah usia, kadang-kadang cepat terlupa. Kami perlu sebut berulang-ulang dan memikirkan aplikasinya dalam kehidupan.

Kami sama-sama ingin mempelajari Bahasa Al-Qur’aan supaya kami dapat melayari sisa-sisa hidup kami bahagia bersama Al-Qur’aan. Rasanya sudah tidak mampu lagi untuk mempelajari sepenuhnya Bahasa Arab dengan segala nahunya yang rumit.

Kami mempelajari Bahasa Al-Qur’aan dengan guru dan berpandukan buku “Panduan Menterjemahkan Al-Qur’aan, karya H. Syarifuddin Radin, Pondok Pesantren Al-Barkah, Cianjur, Jawa Barat”. Beliau menggunakan metodologi Kotak dan Rumus Merah. Kata-kata asas diberikan kotak dan diwarnakan merah.

Sepuluh ayat pertama surah Al-Baqarah menjadi perbincangan kami minggu-minggu lepas dan minggu mendatang. Konsep “mereka yang untung” (muflihun) berasaskan Al-Qur’aan ialah mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki mereka, beriman kepada Al-Qur’aan dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan yakin dengan adanya hari akhirat.

Konsep asas rukun iman merupakan aksioma asas yang mesti diyakini sebagai seorang muslim yang beriman, tiada percanggahan apa pun dalam kehidupan ini. Sungguh sempurna ciptaan Allah berupa Al-Qur’aan sebagai petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.

Nabi Muhammad s.a.w berpesan agar berpegang teguh kepada Al-Quraan dan Al-Hadith agar kita tidak akan tersesat selama-lamanya.

Kami sering mengingatkan cucu-cucu agar selalu solat dan membaca Al-Quraan ketika kami adakan pertemuan bulanan, apakah itu sambutan harijadi atau majlis makan-makan sempena kejayaan sesiapa dalam keluarga kami.

Ketika ini sudah ada 7 orang cucu daripada 14 cucu yang sudah boleh diajak solat berjamaah di rumah walau pun konsentrasi mereka belum sepenuhnya kepada solat, tapi kami mahu asas-asas agama Islam yang kuat ditanam sejak kecil dengan mencipta suasana keluarga yang berdasarkan agama Islam yang kuat.

Suasana tenang dan bahagia lahir dari mendengar ayat-ayat suci dibaca di dalam rumah sehingga rumah itu menjadi syurga buat kami.

Ramadhan memberi kita kesempatan yang sungguh bermakna, suasana Mesjid Istiqomah, Bandung ketika puasa telah lama kami tinggalkan. Rindu sekali dengan suasana itu. Sudah 35 tahun berlalu, namun nostalgia berada di Mesjid Istiqomah yang indah itu tidak pernah dapat kami lupakan. Terasa baru kemarin peristiwa manis itu berlaku, linangan air mata bahagia tidak terbendung lagi.

Itulah dinamakan bahagia yang tiada kata-kata dapat sepenuhnya menghuraikan suasananya. Bahagia ialah sesuatu yang dirasakan bukan sekadar dilihat dan dinikmati secara sepintas.

Berbahagialah mereka yang Allah dorongkan ke agama yang benar lagi lurus iaitu Islam dan marilah kita sepenuhnya memanfaatkan puasa ini untuk mendalami makna Islam yang biasanya kita “take for granted” dengan memikirkan ciptaan Allah yang tiada satu pun ada kecacatannya.

Dekatilah Al-Quraan agar kita memperolehi kebahagiaan yang hakiki. Amin.

Tuesday 26 July 2011

Bahagia Total


Saya inginkan keselamatan total atau "total security" menjadi suatu realiti. Secara fizikal, apa-apa yang berada di luar diri kita ialah persekitaran atau lingkungan. Kita memerlukan udara dari persekitaran kita untuk meneruskan proses pernafasan dan meneruskan hidup. Keselamatan total akan menghasilkan bahagia total.

Bagaimana kita memberi reaksi kepada persekitaran itu amat penting. Seorang pemimpin akan merancang hadirnya di dunia ini untuk mencipta sesuatu, seorang pengikut akan menunggu gerak pemimpinnya dan yang lain akan menjadi saksi kepada apa yang sedang dan akan berlaku. Pilihlah menjadi pemimpin kerana dia seorang yang penuh sedar akan kewujudannya dan peranan persekitarannya.

Teringat saya mengenai sebuah buku, "The Power of Now" karya Eckhart Tolle yang membahagikan masa menjadi tiga bahagian, iaitu masa lampau, masa sekarang dan masa depan. Sebaik saja masa sekarang (now) itu berlalu maka ianya akan menjadi sejarah. Persoalannya bagaimanakah kita boleh memperpanjangkan masa kini untuk melaksanakan lebih banyak bakti kepada ALlah dan masyarakat umum. Kita hanya perlu memikirkan masa sekarang kerana ianya akan segera berlalu kalau kita masih memanjangkan angan-angan. Lakukan yang terbaik pada masa kini dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada matlamat hidup dan tugas-tugas yang perlu kita sempurnakan.

Keselamatan total memerlukan kesedaran yang sempurna terhadap apa yang sedang dan akan berlaku. Sikap proaktif ialah komponen penting dalam keselamatan total kerana kita sedar sepenuhnya apa yang bakal berlaku akibat daripada perbuatan kita sekarang.

Dulu saya pernah membuat satu tugasan semasa saya menjalankan studi master dahulu iaitu Homeostasis. Kalau siapa yang pernah belajar Kimia tentu ingat kepada prinsip Le Chatelier yang menyatakan, jika terjadi ketidakseimbangan kimia maka segera akan berlaku gerakan untuk menseimbangkan kembali sesuatu keadaan itu. Keadaan Homeostasis ini berlaku pada makhluk bernyawa di mana unsur emosi turut memainkan peranannya.

Pada diri manusia ketika berada dalam kesihatan yang sempurna semuanya berjalan dengan baik dan diri kita dapat merasakan keselesaan demikian. Fikiran kita dalam keadaan cergas dan bersedia (alert) dalam kesihatan yang sempurna, namun apabila sesuatu unsur asing dapat menganggu sistem kesihatan kita, maka kita akan segera merasa tidak selesa dan sebagainya. Saya ingin mengatakan bahawa hanya kita dan ALlah yang tahu tentang diri kita sendiri, namun ramai yang menafikan pengetahuan ini. Ramai yang akan menyalahkan orang lain apabila sesuatu yang tidak baik terjadi pada diri mereka.

Minggu lepas saya bertemu dengan teman sekelas masa di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh dahulu. Beliau telah dimasukkan ke wad kecemasan selepas doktor mencabut giginya yang sakit, rupanya bermula dari giginya yang sakit telah mencetus ketidakseimbangan pada bahagian organ beliau yang lain. Alhamdullilah beliau sedang memulihkan kesetabilan sistem badannya dengan berehat dan memakan obat.

Beliau menceritakan bahawa ketika dia melakukan pemeriksaan kesihatan total beberapa bulan sebelum ini, doktor telah mengesahkan bahawa beliau sehat dan tidak ada apa-apa masalah kesihatan. Kita perhatikan perubahan berlaku daripada sehat kepada tidak sehat dalam waktu yang sangat singkat. Kita sendiri tidak mempunyai kawalan terhadap keadaan homeostasis badan kita. Bahkan pada sekitar tahun 1979 seorang doktor pakar jantung yang saya kenal semasa belajar di United Kingdom telah meninggal akibat sakit jantung. Kesimpulannya, walau betapa pakar sekali pun kita dalam sesuatu bidang, terutama dalam perubatan kita masih tidak tahu sesuatu sistem secara totalnya. Hanya Allah saja yang Maha Pencipta yang tahu sepenuhnya tentang sesuatu. Kita boleh berusaha dan yang menentukan ialah Allah.

Saya ingin mengajak sesiapa saja untuk kembali kepada Maha Pencipta dalam segala hal. Kita boleh mendalami sesuatu bidang secara tuntas namun kita tidak akan boleh mengatasi yang Maha Pencipta iaitu Allah.

Keselamatan total hanya milik Allah, namun kita perlu memberikan perhatian yang serius tentang keselamatan total dengan mengambilkira semua aspek keselamatan baik dalam diri atau dalam persekitaran dengan selalu berwaspada dan sedar sepenuhnya tentang apa yang berlaku sekarang (now) dan mengambil tindakan bijak untuk mengatasi sesuatu masalah.

Keselamatan dalaman diri boleh diatasi dengan pemakanan yang baik lagi halal dan ditambah dengan mendekatkan diri kepada Allah melalui fikir dan zikir. Tidak cukup dengan melaksanakan ikhsan, meyakini rukun iman yang enam dan melaksanakan rukan Islam yang lima, namun ianya mesti ditambah dengan solat-solat sunat dan solat tahajud dan witir di waktu malam.

Bagi menjaga keselamatan persekitaran, kita perlu berwaspada dengan setiap unsur yang berada di sekitar kita. Apakah ianya sesuatu yang akan membawa mudarat? Apakah ianya sesuatu yang sia-sia yang tidak ada manfaatnya? Dan sebagainya. Pilihlah sesuatu yang mendekatkan kita kepada kebaikan dan menuju ke jalan Allah bukan ke jalan yang sesat dan menyesatkan.

Apabila keselamatan total dapat dioptimakan, maka kita akan mendapat bahagia total.

Sunday 24 July 2011

Kebahagiaan Hakiki Ada Tiga

Sesiapa pun yang hidup di dunia ini ingin bahagia, malah kita perlu berniat untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat. Setiap yang hidup akan menemui kematian dan kita mesti bersedia untuk mati tetapi jangan lupa kehidupan kita di dunia kerana ianya merupakan jembatan ke akhirat.

Ustaz Agus dalam ceramah alumni ESQ pada 15 Ogos 2009 di rumah seorang kawan ESQ di "Country Height" menyebut bahawa ada tiga kebahagiaan yang kita mesti rebut iaitu Kebahagiaan dalam mendirikan qiamullail, kebahagiaan ketika membaca Al-Qur'aan dan kebahagiaan ketika kita bertemu dengan teman-teman seperjuangan.

Dalam mendirikan Qiamullail secara konsisten, kita menghadap Allah secara bersendirian, mengadu segala kegelisahan kita sambil memohon ampun dan memohon petunjuk jalan yang Allah redhai. Di sini kita berbicara langsung dengan ALlah serta memperbetulkan semua salah tindak kita setiap hari yang berlalu dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan itu sekali lagi. Penuh dengan keinsafan dan rendah diri bahawa kita hanyalah makhluk ALlah yang sangat kerdil.

Melalui pembacaan Al-Qur'aan kita menggali petunjuk Allah dan langsung berdialog dengan ayat-ayat ALlah yang akan memberi panduan dan pedoman hidup agar kita tidak lalui hidup yang sangat singkat ini dengan sia-sia. Terus membaca Al-Qur'aan sepanjang hayat kita agar kita selalu dekat dengan panduan.

Teman-teman seperjuangan merupakan sumber inspirasi yang saling memperkuatkan antara sesama teman untuk tetap berjuang demi menegakkan syiar Islam yang murni agar semua manusia mendapat akses kepada dakwah. Rasa bahagia apabila kita bertemu teman-teman seperjuangan akan terpancar pada wajah ceria masing-masing dan berkongsi pengalaman dakwah yang dilalui oleh masing-masing dalam hidup ini.

Sama-samalah kita mencari ketiga-tiga kebahagiaan ini dalam bulan Ramadhan yang akan menjelang seminggu lagi. Bulan yang Allah bantu kita untuk memperteguhkan keimanan kita dengan diikatnya syeitan, dimakbulkan doa dan diberikan kenikmatan ketika berbuka. Semoga amalan puasa kita semua diterima menjadi amalan soleh. Amin!.